Tips Amalan 10 hari Terakhir bagi Wanita Yang Uzur Pada Bulan Ramadhan

Assalamualaikum

Pada bulan Ramadhan, saat yang paling dinantikan ialah 10 hari terakhir Ramadhan. Ia sangat dinantikan bukan sahaja oleh muslim malah muslimat juga. Kalau 'datang bulan' pada waktu ni memang rasa sangat kecewa sebab tak dapat nak buat amalan sunat lebih dari biasa untuk mengejar fadhilat di Malam Lailatul Qadar. 

Nasihat Marsha buat kawan-kawan, jangan kecewa dan bersedih. Waktu uzur bukan waktu yang kita tak boleh buat langsung amalan sunat. Masih boleh dan masih dapat pahala walaupun kita dalam keadaan uzur. Itu uniknya seorang wanita. Untuk kali ini, Marsha nak kongsikan dengan readers semua ibadah yang boleh dilakukan semasa dalam keadaan uzur selain dari solat , puasa dan juga iktikaf di masjid. Untuk musim PKP ini, masih belum diberi kebenaran untuk ke masjid dengan bilangan yang ramai. Hanya bilangan tertentu sahaja. Jadi jomlah Marsha share | Tips Amalan 10 hari Terakhir  bagi Wanita Yang Uzur Pada Bulan Ramadhan

Tips Amalan 10 hari Terakhir  bagi Wanita Yang Uzur Pada Bulan Ramadhan



Kali ini Marsha nak kongsikan serba sedikit tips amalan 10 hari terakhir bagi wanita yang uzur pada bulan Ramadhan. Walaupun wanita uzur tidak boleh solat, tidak boleh berpuasa dan juga tidak boleh masuk masjid untuk iktikaf, namun masih ada beberapa amalan yang boleh diamalkan oleh wanita yang uzur untuk merebut pahala dan fadhilat malam Lailatul Qadar. Jom kita tengok apa yang kita boleh buat jika dalam keadaan uzur atau berhadas besar.


1. Redha dengan ketentuan ALLAH


Konsep Redha ini sangat penting. Dengan Redha dengan segala ketentuan ALLAH kita akan rasa lebih tenang dan positif. Dalam masa yang sama, ia juga menunjukkan tahap keimanan seseorang terhadap qadar dan qadha ALLAH. Sifat redha ini akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang dan  lebih bersangka baik terhadap qada' dan qadar ALLAH. Sifat redha ini juga adalah sifat yang mahmudah yang insyaALLAH besar pahalanya di sisi ALLAH. Untuk redha bukan satu perkara yang senang. Ada ganjaran pahala buat orang-orang yang redha, insyaALLAH. Justeru, redhalah. 

Redha adalah tanda kehambaan hamba kepada Tuhannya.



2. Bangun malam di 10 terakhir Ramadhan

Semestinya ibadah terbaik di waktu 10 hari terakhir di bulan Ramadhan pada waktu malam adalah solat-solat sunat terutamanya solat sunat Tahajud. Namun, disebabkan oleh wanita-wanita uzur tidak boleh menunaikan solat, jadi kena cari alternatif yang lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadah pada waktu malam tidak dibiarkan begitu sahaja. Contoh ibadah yang boleh dilakukan ialah:

1. Membaca atau mendengar ayat-ayat al-Quran tanpa memegang mushaf al-Quran.
2. Mentadabbur ayat-ayat al-Quran iaitu melihat makna/terjemahan lalu menghayati maksud ayat-ayat al-Quran.
3. Zikir ketika haid iaitu mengingati ALLAH samada melalui lidah, hati atau perbuatan. Bolehkah berzikir ketika berhadas besar? Semestinya boleh. Banyak kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali seperti:
  • “SubhanAllah” (Maha Suci ALLAH)
  • “Alhamdulillah” (Segala Puji Bagi ALLAH)
  • “Allahu Akbar” (ALLAH Maha Besar)
  • “La Ilaha illa ALLAH” (Tiada Tuhan selain ALLAH)
  • “SubhanAllahi wabihamdih, SubhanAllahil`Azim” (Maha suci ALLAH dengan segala pujian kepadaNYA, Maha suci ALLAH Yang Maha Agung)
  • “La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH)
  • Dan lain-lain lagi.
4. Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar. Ucaplah “Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali. Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin.
5. Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Berdoa juga adalah ibadah.
6. Bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
7. Muhasabah diri.
8. Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menimbulkan keinsafan dan peningkatan Iman serta makin dekat dengan ALLAH.
9. Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak atau teman-teman untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

Jadi tidak ada alasan untuk seseorang meninggalkan ibadah berjaga malam walaupun sedang uzur.  Amalan-amalan ini adalah pengganti tahajud bagi wanita haid. Apatah lagi peluang menghidupkan malam pada 10 terakhir Ramadhan. Kerana di dalamnya kita sangat digalakkan untuk memburu Lailatul-Qadar. Oleh itu, janganlah ditinggal terus dari beribadah pada waktu malam meskipun kita uzur.



3. Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan.

  • Menghadiri majlis-majlis ilmu. ( Jika masa PKP ini majlis ilmu masih belum dibenarkan )
  • Menjauhi perbuatan-perbuatan syubhah dan haram terutama yang melibatkan lidah. Contohnya mengumpat.
  • Memberi nasihat, amar ma`ruf nahi mungkar.
  • Membuat penulisan di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali beragama. Dapat pahala tau kira ni kita berdakwah.
  • Menyediakan juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga dan taulan yang berpuasa. InsyaALLAH, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu. Jadi walaupun kita uzur, kita akan tetap dapat pahala bila kita masak makanan berbuka untuk keluarga.
  • Berinfaq atau derma kepada yang memerlukan.
  • Membantu orang yang kesusahan.
  • Menyebarluaskan salam.
Sebenarnya banyak lagi amalan sampai tak terkira. Banyak je kan aktiviti yang boleh dilakukan jika dalam keadaan uzur atau berhadas besar.

Itu baru sebahagian aktiviti atau alternatif yang dapat dimanfaatkan oleh wanita-wanita yang berada dalam keadaan uzuzr di luar sana. Memang ramai wanita yang tidak sedar akan ibadah-ibadah lain yang ada di dalam ISLAM. Jangan ingat hanya solat dan puasa sahaja ibadah. Ketidaksedaran ini membuatkan para wanita yang didatangi haid mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadhan. Terbuanglah peluang begitu sahaja, malah ada yang tidur sahaja disebabkan oleh pada anggapan mereka bahawa mereka tidak boleh melakukan ibadah.

Apakah doa orang haid dikabulkan? Ya semestinya...wanita yang uzur tidak terkecuali untuk doa mereka dikabulkan. Jadi tetaplah berdoa pada Allah moga Allah makbulkan doa-doa kita...Aamin.


Amalan alternatif bagi wanita haid



Seperti yang kita maklum, ALLAH Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Banyak sangat peluang alternatif yang ALLAH sediakan buat hambaNYA. Juga pahala dariNYA memang DIA sediakan buat hamba-hambaNYA yang suka mencari keredhaanNYA dan tak jemu melakukan amalan-amalan yang sisuruh olehNYA. Konsep ibadah ini terlalu luas. Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh jadi ibadah? 

Moga perkongsian Marsha pada kali ini membantu korang yang uzur di waktu 10 malam terakhir Ramadhan. Selamat beribadah korang!


Marsha 
Part Time Blogger 
Niche Lifestyle, Parenting, Healthy, Beauty & Travel 
Collaboration & Review Blogger

0 Comments

Subscribe Us